Tuesday, 27 October 2020

Aplikasi Teori Pelaziman Operan B.F. Skinner

TUGASAN: Merancang satu proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) mengikut pedagogi yang sesuai dengan perkembangan pendidikan masa kini berdasarkan salah satu teori pembelajaran yang dipilih selepas membuat peta i-Think yang sesuai.


Peta i-Think


Teori pembelajaran Ausubel mengambil kira pembelajaran individu dalam konteks sekolah atau bilik darjah. Pembelajaran bermakna boleh berlaku melalui penggunaan bahan yang bermakna. Bahan yang dimaksudkan boleh dalam bentuk teks atau penyampaian guru. Pembelajaran bergantung kepada pengetahuan asas sama ada dalam bentuk pengetahuan sedia ada ataupun persembahan maklumat umum ataupun gabungan kedua-duanya. Beliau juga memberi penekanan kepada penyampaian pelajaran secara terancang oleh guru (David Ausubel, 1918-2008).

            Oleh itu, proses pengajaran dan pembelajaran menjadi satu elemen penting dalam perkembangan pendidikan.  Pengajaran adalah satu proses penyebaran ilmu pengetahuan atau kemahiran supaya dapat dipelajari dengan berkesan. Daripada tidak tahu kepada lebih tahu pelajar akan berubah dan menukar tingkah laku kepada sesuatu yang baru. Pembelajaran pula  adalah satu proses perolehan ilmu pengetahuan melalui pengalaman, membuat penerokaan, mendapat  latihan sehingga berlaku perubahan tingkah laku dalam diri pelajar. Oleh itu pembelajaran  itu adalah satu proses yang mengubah keadaan, sikap, pengetahuan manusia melalui pengalaman.

        Pada asasnya konsep pengajaran dan pembelajaran adalah berlandaskan kepada teori-teori pembelajaran masa kini. Teori-teori pembelajaran  terdiri daripada kognitif, konstruktivitisme, behaviorisme dan humanistic. Pengalaman ilmu pengetahuan yang diperoleh dalam proses pembelajaran berlaku secara berperingkat-peringkat yang menghasilkan satu  perubahan tingkah laku manusia.

Tugasan ini dikehendaki untuk merancang satu proses pengajaran dan pembelajaran mengikut pedagogi yang sesuai dengan perkembangan pendidikan masa kini berdasarkan salah satu teori pembelajaran yang dipilih selepas membuat peta i-Think yang sesuai. Teori pembelajaran yang dipilih ialah teori pelaziman operan B.F. Skinner. Teori ini merupakan satu teori yang berasaskan rangsangan dan gerak balas. Menurut Skinner (1953) kajiannya menunjukkan pelaziman operan organisma bertindak balas terhadap persekitaran dalam proses pembelajaran. Tingkah laku sebegini bukan semata-mata gerak balas automatik yang dikeluarkan mengikut naluri terhadap sesuatu rangsangan (pelaziman klasik). Manakala Pelaziman Operan dapat meningkatkan kebarangkalian pengulangan sesuatu gerak balas. Selain itu, peneguhan menambahkan kekerapan gerak balas itu. Peneguhan biasanya ditakrifkan sebagai sebarang rangsangan yang dapat menambahkan kebarangkalian gerak balas yang akan berlaku.

    Satu proses pengajaran dan pembelajaran yang dibuat ialah pengajaran dan pembelajaran  subjek Bahasa Melayu tahun 6 di mana topik yang diambil ialah penulisan karangan jenis cerita. Pertama, selepas guru melangkah masuk ke dalam kelas guru akan memberikan salam kepada murid-murid dan mengambil kedatangan murid-murid terlebih dahulu untuk memastikan bilangan murid cukup seperti yang sepatutnya. Guru bertanyakan khabar dengan murid-murid dan meminta mereka bersedia untuk meneruskan pembelajaran.

Guru meminta semua murid untuk datang ke hadapan dalam keadaan beratur untuk mengambil  satu kertas undian kumpulan yang terdiri daripada nombor 1 hingga 5 dan kertas undian ini bergantung kepada bilangan murid dalam sesuatu kelas. Kemudian, guru memberitahu murid supaya berada dalam kumpulan mengikut nombor yang tertera di kertas undian mereka yang merupada nombor kumpulan. Cara pembahagian kumpulan ini membantu murid untuk berinteraksi antara satu sama lain bagi mencari ahli kumpulan masing-masing.

Kumpulan yang berjaya dibentuk paling awal akan diberi pujian dan hadiah oleh guru manakala kumpulan yang terakhir yang dapat dibentuk dikenakan denda untuk menyanyikan sebuah lagu. Dalam proses ini dapat dilihat bahawa guru menggunakan peneguhan positif. Peneguhan positif ini diberikan sebagai salah satu bentuk motivasi dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Hal ini menunjukkan bahawa pendidik atau guru menghargai setiap anak didiknya. Melalui cara ini, murid akan bersemangat untuk meneruskan pembelajaran.

Peneguhan dan hukuman yang diberikan oleh guru ini amat berkait rapat dengan teori pelaziman operan B.F. Skinner. Dalam teori Skinner, peneguhan dibahagikan kepada dua iaitu peneguhan positif dan negatif. Hukuman juga dibahagikan kepada dua iaitu hukuman beri dan hukuman tarik.

Hukuman beri akan mengurangkan kemungkinan tingkah laku diulangi hasil daripada rangsangan yang diberikan manakala hukuman tarik akan mengurangkan kemungkinan tingkah laku diulangi hasil daripada rangsangan yang selesa ditarik balik (Noriati, 2009). Dalam kes tadi, kumpulan terakhir yang dapat dibentuk dikenakan hukuman beri iaitu mereka terpaksa menyanyikan sebuah lagu. Penggunaan dendaan atau hukuman adalah satu proses atau tatacara untuk melemahkan atau mengurangkan berulangnya tingkah laku yang tidak diingini.

Proses pengajaran diteruskan dengan perlantikan seorang ketua bagi setiap kumpulan. Pemilihan bagi ketua kumpulan adalah berdasarkan tarikh lahir mereka. Murid yang paling tua secara automatik akan dilantik menjadi ketua. Kemudian, ketua kumpulan diminta untuk mencabut satu kad tugasan daripada guru. Dari  segi kaedah mengajar guru telah  menyediakan kad tugasan sebagai panduan murid menjalankan  aktiviti supaya arahan dan penerangan lebih jelas serta berkesan. Kad tugasan diberikan kepada semua ketua kumpulan dan meminta setiap ketua kumpulan membacakan arahan dalam kad tugasan di dalam kumpulan masing-masing Dalam kad tersebut juga tercatat situasi-situasi yang perlu dilakonkan oleh murid bagi setiap kumpulan.  

Dalam masa yang ditetapkan, murid-murid perlu berbincang antara ahli kumpulan mereka tentang watak-watak yang yang diperlukan. Guru perlu memastikan semua murid terlibat dalam aktiviti perbincangan ini. Dalam proses ini, dapat dilihat bahawa guru menggunakan strategi permusatan murid di mana murid melibatkan diri secara aktif murid di dalam aktiviti pembelajaran di mana guru hanya sebagai pembimbing ketika menjalankan aktiviti. Dengan itu, strategi ini dapat meningkatkan penglibatan murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran, meningkatkan kemahiran berfikir, menambahkan keyakinan diri, menggalakkan murid menghasilkan idea dan memberi pendapat, menggalakkan murid membina ilmu dan mewujudkan suasana kerjasama dalam kalangan murid dan ahli kumpulan mereka.

Kemudian, proses pengajaran dan pembelajaran diteruskan dengan meminta setiap kumpulan melakonkan situasi-situasi yang dikehendaki dalam kad tugasan tadi dalam bentuk simulasi. Kumpulan yang tidak terlibat semasa simulasi dikehendaki mencatat idea-idea yang dikeluarkan oleh kumpulan yang sedang melakukan simulasi. Proses ini diulang kepada kumpulan yang lain pula. Proses ini menggunakan strategi pemusatan bahan di mana ianya dapat membantu murid memahami konsep yang abstrak dengan lebih jelas di samping memupuk semangat berdikari dengan menjalankan aktiviti pembelajaran tanpa kehadiran atau pertolongan guru.

Selepas simulasi tamat, guru memberikan pujian bagi membangkitkan semangat murid-murid dan sekali lagi guru menggunakan pendekatan positif supaya murid rasa usahanya dihargai. Selepas itu, guru membuat refleksi bersama pelajar tentang aktiviti yang telah dijalankan. Dengan adanya refleksi di akhir aktiviti yang dijalankan, ia dapat membantu murid belajar secara optimum daripada kesilapan dan pengalaman lepas. Oleh sebab itu, refleksi juga dikatakan dapat membantu pembelajaran sepanjang hayat dan perkembangan peribadi yang positif.

Di akhir pengajaran, guru meminta murid menulis satu karangan berbentuk cerita berdasarkan mana-mana simulasi yang telah dilakukan oleh setiap kumpulan. Guru menetapkan supaya murid-murid menyiapkan tugasan ini di rumah dan murid dikehendaki menghantar karangan ini pada keesokan harinya. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang terakhir ini, guru menggunakan teknik latih tubi yang merupakan pengulangan fakta-fakta yang telah dipelajari atau dilihat semasa simulasi. Tujuannya adalah untuk mencapai taraf penguasaan kemahiran tersebut dan di samping untuk menjamin pengekalannya.

Keimpulannya, dalam menghadapi arus globalisasi dalam dunia pendidikan ini, guru perlu bersiap sedia dengan ilmu pengetahuan dan mempelbagaikan strategi dan kaedah pengajaran bagi menjadikan suasana kelas lebih menarik seterusnya dapat menghasilkan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.

Strategi pengajaran yang berpusatkan murid perlu diberi keutamaan sewaktu menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran supaya murid-murid dapat melibatkan diri secara aktif. Kaedah perbincangan adalah sangat sesuai dijalankan kerana kaedah ini melibatkan semua murid untuk memberi pandangan dan idea seterusnya dapat membina hubungan sosial dalam kalangan murid.

Selain itu, strategi pengajaran berasaskan tugasan juga tidak boleh diabaikan. Hal ini demikian kerana strategi ini dapat member peluang kepada murid untuk mengaplikasi apa-apa yang dipelajari oleh mereka. Kaedah simulasi perlu dilaksanakan oleh guru bagi memberikan peluang kepada murid-murid untuk melakonkan mengikut situasi hampir sama dengan situasi yang sebenar. Di samping itu, kaedah simulasi dapat menjana kreativiti pemikiran murid dan memantapkan kemahiran berbahasa.

Oleh itu, kita sebagai seorang guru haruslah melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan. Perancangan guru seharusnya lebih kreatif dari segi mengadakan pelbagai kemudahan dan sumber rujukan supaya aktiviti pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih bermakna dan sempurna.


Bibliografi

......




No comments:

Post a Comment

BAHASA MELAYU TAHUN 5

  TEMA 2 UNIT 7 -  KELUAR DENGAN TENANGNYA TATABAHASA   KATA PEMERI ialah adalah hadir di...